TARIAN MELAYU RIAU

Tarian Cik Siti Wau Bulan

Pada musim menuai di negeri-negeri sebelah Pantai Timur sering diadakan permainan seperti main gasing, main wau, rebana ubi, rebana kertuk, rebana kayu dan lain-lain lagi. Bersempena dengan permainan wau maka satu tarian yang diberi nama Cik Siti Wau Bulan telah dicipta. Dahulu tarian ini mengisahkan anak muda bermain-main wau di musim menuai. Kemeriahan tarian ini tergambar dalam gerak-geri penari-penari yang terdiri daripada anak muda lelaki dan perempuan.

Tarian Ayam Didik

Tarian Ayam Didik merupakan sejenis tarian Melayu dikatakan berasal daripada gerakan berlaga ayam, iaitu sejenis sukan yang diminati oleh orang Melayu pada masa lampau. Tarian ini dicipta oleh ahli tarian di negeri Perlis dan masyhur di kalangan masyarakat terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak.

Tarian Ayam Didik ini berasal daripada gerakan perlawanan melaga ayam iaitu satu permainan tradisional orang-orang Melayu dahulu. Tarian ini telah dicipta oleh satu kumpulan penari di Kangar, Perlis. Tarian ini diringi dengan nyanyian lagu ayam didik.

Tarian Ulek Mayang adalah sebuah tarian asli masyarakat Terengganu. Dalam bentuk asalnya adalah sebuah tarian memuja semangat. Penarinya akan menggunakan mayang pinang dan mengoncangkannya semasa menari sehinggalah ia merasakan mayang pinang tersebut bergoncang dengan sendirinya dilepaskan kepada penari yang lainnya.

Tarian ini kebiasaannya adlah untuk memuja semangat laut. Namun pada hari ini, kepercayaan atas semangat telah tiada lagi atas pengaruh Islam dan tarian ini cuma tinggal sebagai bentuk hiburan sahaja.

Tarian Lilin

Tarian Lilin pada asasnya merupakan sebuah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari dengan diiringi sekumpulan pemuzik. Para penari ini akan membawa lilin yang dinyalakan pada piring yang dipegang pada setiap belah tangan mereka. Penari ini akan menarikan tarian secara berkumpulan dengan memusingkan piring yang mempunyai lilin yang menyala secara berhati-hati agar piring tersebut sentiasa mendatar, dan lilin tidak terpadam.

Asal

Asal usul Tarian Lilin dipercayai berasal dari Sumatera. Kononnya seorang gadis telah ditinggalkan oleh tunang yang pergi berdagang mencari harta. Semasa peninggalan tunangnya itu gadis telah kehilangan cincin pertunangan. Gadis tersebut mencari-cari cincin hingga larut malam dengan menggunakan lilin yang diletakkan pada piring. Gerakan badan yang meliuk, membongkok, mengadah (berdoa) melahirkan keindahan sehingga peristiwa ini telah melahirkan Tarian Lilin di kalangan gadis-gadis kampung itu.

Jenis Pengelasan

Tarian lilin merupakan sejenis kesenian Istana dan ditarikan pada waktu malam bagi menimbulkan nyalaan lilin tersebut. Ini kerana tarian lilin memerlukan penarinya giat berlatih agar dapat mengawal pergerakan dengan lilin yang menyala tanpa kemalangan.

Tarian Sarah

Tarian Sarah merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian Sarah mempunyai irama muzik padang pasir yang rancak yang mewakili riang gembira. Tarian ini terkenal di kalangan Masyarakat Johor yang berketurunan Arab di Daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.

Di Johor, tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama Samrah, pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan diganti dengan pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. (Tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja). Tarian ini juga ditarikan di majlis-majlis keraian dan di majlis-majlis kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.

Tarian Joget

Tarian Joget merupakan sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian ini dipengaruhi oleh kebudayaan Portugis iaitu Branyo, satu cabang daripada tarian Coridinho. Joget telah dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia. Ia juga biasanya ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita.

Pada masa kini terdapat pelbagai jenis lagu-lagu yang dihasilkan seperti Joget Serampang Laut, Joget 106, Joget Johore Sport Club dan lain-lain. Joget juga popular ditarikan secara beramai-ramai dalam pesta keramaian dan dikenali sebagai joget lambak.

Tarian Kuda Kepang

Tarian Kuda Kepang.

 

Tarian Kuda Kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas pada jalan cerita itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperperangan Rasulallah dan para sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka. Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan.

Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya darik berketurunan Jawa. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.

Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini. Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Setelah waktu berlalu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar. Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Tarian Ceracap Inai

Tarian Ceracap Inai merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional yang terkenal terutamanya di Johor.

Asal tarian

Tarian Ceracap Inai ini dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa Sultan Mahmud Shah mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian Ceracap Inai ini dikatakan berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian. Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur ‘menyembah duli’ (sembah/ampun), merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan ‘Raja Sehari’/Pengantin.

Tarian Ceracap Inai dipersembahkan dengan hiasan seperti ‘Bunga-bungaan Emas’ dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 – 8 orang. Tarian ini amat terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s